Friday, October 3, 2008

Wau

Permainan wau suatu ketika dahulu lebih popular di kawasan pedalaman seperti kawasan pantai dan kawasan lapang. Kini permainan tersebut telah mulai popular dan diminati oleh pelbagai kaum termasuklah mereka yang menetap di bandar. Bukan itu sahaja, permainan ini telah diperkenalkan hingga ke peringkat antarabangsa seperti di Pasir Gudang Kite Festivals International Guests yang diadakan pada setiap tahun. Sambutan festival ini juga sangat memberangsangkan terutamanya peserta dari luar negara.


Selain wau, nama lain adalah layang-layang. Perkataan “wau” dikatakan berasal dari perkataan Thailand memandangkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menggunakan perkataan tersebut. Perkataan layang-layang pula digunakan di kebanyakan negeri-negeri seperti di Pantai Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor. Ini dapat dibuktikan menerusi catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta kerabat DiRaja, dan tidak pula disebut bermain wau. Selain itu, kemunculan nama wau juga dikaitkan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau. Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi “wau’, “wau’, “wau’ secara berirama.

Sejarah Wau Malaysia

Kedatangan permainan wau di Malaysia tidak dapat dipastikan kesahihan tarikh serta asal-usulnya. Walau bagaimanapun menurut sejarahwan Clive Hart, layang-layang di Malaysia berasal dari negara China. Ini kerana rekabentuk serta karektor mempunyai persamaan dengan layang-layang tradisional dari negara China.Layang-layang pada masa dahulu menggunakan daun kayu yang lebar. Kemungkinan evolusi layang-layang di Malaysia juga turut menyerap unsur-unsur kebudayaan dari negara China.

Bahagian Perincian Wau


Terdapat lima komponen asas bagi sebuah wau tradisional iaitu terdiri daripada kepala wau, busur atau dengung, sayap wau, torek atau bahagian pinggang dan ekor wau.

Wau tradisional mempunyai keunikannya yang tersendiri. Warisan tradisional ini haruslah dikekalkan kerana ia adalah identiti budaya bangsa Melayu dan juga sebuah negara. Kini permainan wau mulai popular di kalangan masyarakat bandar dan tidak lagi terhad di luar bandar sahaja. Bukan itu sahaja, permainan wau ini juga telah dimodenkan dan mula memasuki peringkat antarabangsa. Selain wau, layang-layang juga amat diminati sebagai salah satu aktiviti pada waktu terluang.


Jenis Wau


Berbagai jenis dan bentuk wau telah dicipta. Wau burung, wau pari, wau katak, wau bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah, wau barat dan yang sangat digemari oleh orang Melayu ialah wau bulan. Rekacorak bermotifkan awan larat pada kebiasaannya adalah menghiasi kebanyakan wau yang dihasilkan dengan berwarna-warni. Kelantan dan Terengganu sehingga kini masih mengekalkan tradisi pembuatan wau yang menarik, selain dijadikan untuk permainan ianya juga sebagai hasil kraftangan dan hiasan dinding.


Cara Bermain


Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni. Di masa kini walaupun wau masih mendapat tempat dikalangan masyarakat Melayu tetapi layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta, ada layang-layang yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan dengan menggunakan dua utas tali. Kebanyakkan pertunjukan wau dan layang-layang masih mendapat tempat di Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau pertandingan wau antarabangsa.

3 unsur yang mempengaruhi kenaikan wau

a) Tekanan angin


Apabila tekanan angin di permukaan wau semakin kuat, maka kemampuan untuk naik tinggi semakin meningkat.


b) Daya tarikan graviti


Tarikan graviti ialah daya yang menarik wau ke bawah.

c) Daya seretan.

Wau akan mengundur ke belakang apabila permukaan wau mendapat tekanan yang tinggi. Hal ini akan mewujudkan daya seretan.

Permainan wau tradisional Melayu adalah dimainkan menggunakan satu tali sahaja. Penggunaan satu tali membolehkan wau ini mudah diterbangkan dan dikawal. Terdapat dua cara melancarkan atau menaikkan wau iaitu, pelancaran jarak dekat dan pelancaran jarak jauh. Tali yang digunakan adalah tali tangsi.

Teknik menaikkan wau jarak dekat.

Teknik ini sesuai bagi wau yang bersaiz kecil dan ringan.Hanya seorang sahaja diperlukan untuk melancarkan teknik ini.Pemain berdiri membelakangkan angin.Sebelah tangan pemain akan memegang badan wau dan dihadapkan ke arah angin. Sebelah lagi tangan memegang gelung tali.wau dilepaskan perlahan-lahan sehingga wau naik tinggi ke udara.

Mengawal penerbangan

Tiupan angin yang tidak meneru menyebabkan pemain perlu mengawal penerbangan wau. Mengawal penerbangan wau penting untuk mengelakkan wau jatuh ke tanah atau mengelakkan tali wau terputus.

Terdapat dua kemungkinan tiupan angin, iaitu angin beriup lemah dan angin bertiup kuat.Apabila angin bertiup lemah, pemain mesti menggulung tali wau supaya wau tersebut tidak jatuh ke tanah.

Teknik menurunkan wau.

Menurunkan wau memerlukan dua pemain, iaitu seorang penarik tali dan seorang lagi penggulung tali.

Penarik tali ialah orang yang menarik talu wau manakala penggulung tali ialah orang yang menggulung tali wau yang telah ditarik oleh penarik tali. Permainan wau laga merupakan perlawanan memutuskan tali wau pihak lawan.Ini memerlukan kepantasan, tumpuan dan kemahiran yang tinggi. Bahagian tali wau ini disalut dengan serpihan kaca halus.


No comments: