Saturday, October 18, 2008

Refleksi

Saya dapat mempelajari banyak pengalaman daripada membuat folio ini.

Saya juga dapat mengetahui lebih banyak tentang bidang kesenian di Malaysia melalui tajuk yang diberi oleh cikgu saya. Saya dapat mengenali pelbagai permainan traditional Malaysia dengan bimbingan daripada cikgu saya. Jasa dan penerangan daripada cikgu tidak akan saya lupakan.

Selepas membuat folio ini, saya telah mendapat banyak ilmu dan pengetahuan tentang tajuk folio ini.

Akhir kata, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Puan Ng yang telah banyak mendorong saya dalam menjayakan sebuah folio yang berguna.

Mengekalkan Warisan Kesenian

Pelbagai cara dilakukan bagi memastikan warisan kesenian dapat dikekalkan. Antaranya ialah:

Kuat Kuasa Undang-undang

Kerajaan telah menggubal Akta Warisan Kebangsaan 2005. Melalui akta ini, beberapa bidang kesenian didaftarkan sebagai warisan negara. Oleh itu, sesuatu warisan kesenian akan dilindungi dan dipelihara melalui undang-undang tersebut.

Pendokumentasian

Usaha pendokumentasian bidang kesenian dilakukan oleh Jabatan Warisan Negara, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan WArisan (KeKKWa). Pendokumentasian dilakukan dalam bentuk rakaman audio, visual dan penulisan buku. Usaha ini membolehkan para pengkaji membuat rujukan dan penyelidikan.

Pendidikan

Banyak bidang kesenian diajar di institusi pengajian tinggi tempatan. Para pelajar diberi pendedahan, ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam bidang kesenian. Antara institusi tersebut tersebut ialah Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Universiti Malaya, Universiti Teknologi MARA, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Institut Kraf Negara.

Persembahan

Anjurkan persembahan setiap tahun untuk memupuk minat masyarakat supaya dapat dikekalkan. Persembahan bidang kesenian seperti seni tari, muzik dan drama dapat dikekalkan dengan cara persembahan.

Sunday, October 12, 2008

Memperkenalkan Warisan Kesenian

Kita bangga warisan kesenian terus dapat dinikmati sehingga hari ini. Warisan kesenian dapat dipersembahkan untuk tontonan masyarakat. Oleh itu, langkah memperkenalkan warisan kesenian harus dikekalkan. Antara langkah-langkah untuk memperkenalkan warisan kesenian adalah dengan:

Pertandingan Aktiviti Kesenian

Pengajuran pertandingan aktiviti kesenian dapat memupuk minat generasi muda terhadap warisan kesenian. Contohnya pertandingan tarian singa, permainan congkak, seni kraf dan seni mempertahankan diri. Dengan pertandingan ini, generasi muda akan terdedah kepada warisan kesenian dan seterunya mengetahui lebih banyak tentang warisan kesenian.

Pameran Kesenian

Pameran kesenian diadakan di dalam dan di luar negara. Pameran ini membolehkan orang ramai mengenali warisan kesenian tersebut. Contohnya demontrasi kraf tangan sempena pameran kesenian dapat membolehkan orang ramai mengetahui cara membuat kraf tangan. Oleh itu, pameran kesenian amat penting dalam mengenali warisan kesenian.

Persembahan Kesenian

Persembahan kesenian membolehkan masyarakat mengenali, mempelajari dan menghayati pelbagai warisan kesenian negara. Contohnya persembahan drama dan teater. Selain itu, perarakan Citrawarna Malaysia menonjolkan kesenian muzik dan tarian.

Kursus Kesenian

Kursus kesenian diadakan untuk memupuk minat generasi muda mendalami pengetahuan dalam bidang seni. Contohnya kursus seni tari, seni drama, seni kraf dan seni mempertahankan diri. Kursus tersebut dianjurkan oleh institusi pengajian tinggi, institusi kebudayaan daerah dan negeri.

Media Massa

Media massa seperti televisyen dan akhbar menyiarkan dokumentari, pertandingan dan persembahan warisan kesenian. Oleh itu, masyarakat akan dapat mengetahui dan mengenali bidang kesenian tersebut.

Saturday, October 11, 2008

Kepentingan Warisan Kesenian

Warisan kesenian amat penting kepada masyarakat. Warisan kesenian dapat menjalinkan perpaduan kaum, menyediakan peluang pekerjaan dan membangunkan industri pelancongan.

Perpaduan Kaum

Bidang kesenian dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Contohnya setiap kaum mengambil bahagian dalam sesuatu persembahan kesenian. Oleh itu, setiap kaum dapat mengenali dan memahami bidang seni kaum lain. Mereka juga dapat berinteraksi mesra antara satu sama lain.

Peluang Pekerjaan

Bidang kesenian menawarkan pelbagai peluang pekerjaan kepada masyarakat. Contohnya sebagai ahli muzik, pelakon, pereka seni kraf, kareografer dan jurulatih seni mempertahankan diri. Dengan pekerjaan-pekerjaan ini, masyarakat dapat hidup dengan senang dan memperoleh rezeki untuk menyara keluarga. Mereka juga akan memperoleh moto diri sendiri sebagai dorongan untuk berjaya dalam hidup.

Industri Pelancongan

Kepelbagaian dan keunikan warisan kesenian menarik pelancong tempatan dan luar negara. Contohnya kesenian kraf tangan seperti batik, ukiran kayu, labu sayong, anyaman dan songket. Pelancong juga tertarik dengan kesenian drama seperti makyung, wayang kulit, dikir barat dan ulik mayang. Hasil jualan barangan seni kraf dan bayaran persembahan seni tari memberikan pulangan pendapatan kepada para penggiat seni dan ini juga dapat meningkatkan ekonomi negara.

Monday, October 6, 2008

Congkak

Congkak sejenis permainan tradisional Melayu yang menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan buahnya daripada biji congkak, biji getah, biji guli dan lain-lain. Di utara semenanjung congkak dipanggil juga Jongkok.Permainan ini telah wujud sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka lagi, tetapi tidak pasti asalnya, samada pengaruh luar telah datang bersama pedagang atau sememangnya telah dicipta oleh orang Melayu ketika itu.

Papan Congkak

Peralatan yang digunakan untuk bermain congkak biasanya diperbuat daripada batang pokok kayu besar yang diukir seperti perahu. Disebelah hujungnya diukir bentuk kepala pelbagai haiwan seperti burung manakala dibahagian badan papan diukir dengan pelbagai ukiran Melayu.

Sekiranya permainan congkak di tanah, lubang digali dan kemudian diletak tempurung kelapa supaya tangan tidak kotor terkena tanah.Lubang-lubang congkak dibuat dalam dua barisan selari antara satu sama lain. Papan congkak mengandungi 14 lubang yang dipanggil "kampung". Terdapat dua lubang besar di setiap hujung papan congkak. Lubang ini dipanggil "rumah". Kampung-kampung ini diisikan dengan buah congkak sama banyak.

Cara Bermain

Dua orang pemain duduk berhadapan menghadap papan congkak, dimulakan dengan kedua-dua pemain serentak mencapai buah di kampung masing-masing dan memasukkan buah satu demi satu di dalam lubang kampung dengan pergerakan dari kanan ke kiri hingga ke rumah dan kampung lawan.

Gerakan diteruskan hingga buah yang terakhir pada tangan dimasukkan dalam kampung kosong di kawasan sendiri atau lawan dan pemain hendaklah berhenti, sekiranya buah itu jatuh atau mati di kampung sendiri. Pemain itu boleh menembak kampung lawan yang setentang dengan kampungnya iaitu mengaut kesemua buah (jika ada) di dalam kampung tersebut.

Pihak lawan mengambil giliran meneruskan permainan hingga buahnya mati. Sekiranya buah terakhir jatuh di dalam rumah sendiri, pemain boleh meneruskan permainan dengan mengambil buah yang masih banyak di mana-mana kampung sendiri. Sekiranya buah terakhir jatuh di kampung kosong pihak lawan, maka permainan itu mati di situ sahaja dan pihak lawan boleh memulakan permainan seterusnya hingga mati.

Setelah tamat pusingan pertama, setiap pemain mengisi semula kampung dengan buah congkak dan jika ada kampung yang tidak cukup buah, ia dianggap terbakar. Kampung ini tidak boleh diisi apabila bermain pada pusingan yang kedua, ketiga dan seterusnya hingga pihak lawan mengaku kalah.

Perbezaan peraturan

Walaupun permainan congkak kelihatan sama dengan permainan lain yang berasaskan lubang dan buah seperti Manchala dan Sungka, terdapat beberapa perbezaan dari segi peraturan.
Perbezaan utama ialah semasa permulaan permainan di mana permainan congkak bermula serentak antara kedua-dua pemain. Pengagihan buah dalam permainan congkak juga bergerak mengikut arah jam berbanding dengan permainan lain yang bergerak secara melawan arah jam.



Friday, October 3, 2008

Wau

Permainan wau suatu ketika dahulu lebih popular di kawasan pedalaman seperti kawasan pantai dan kawasan lapang. Kini permainan tersebut telah mulai popular dan diminati oleh pelbagai kaum termasuklah mereka yang menetap di bandar. Bukan itu sahaja, permainan ini telah diperkenalkan hingga ke peringkat antarabangsa seperti di Pasir Gudang Kite Festivals International Guests yang diadakan pada setiap tahun. Sambutan festival ini juga sangat memberangsangkan terutamanya peserta dari luar negara.


Selain wau, nama lain adalah layang-layang. Perkataan “wau” dikatakan berasal dari perkataan Thailand memandangkan negeri seperti Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah menggunakan perkataan tersebut. Perkataan layang-layang pula digunakan di kebanyakan negeri-negeri seperti di Pantai Barat dan Selatan Semenanjung Malaysia seperti Selangor, Melaka dan Johor. Ini dapat dibuktikan menerusi catatan Tun Seri Lanang yang menyatakan bahawa Raja Ahmad bermain layang-layang bersama pemuda-pemuda serta kerabat DiRaja, dan tidak pula disebut bermain wau. Selain itu, kemunculan nama wau juga dikaitkan bunyi yang terhasil daripada busur yang diikat pada wau. Apabila dinaikkan ke udara, daun ibus yang dipasang pada busur tersebut akan menghasilkan bunyi “wau’, “wau’, “wau’ secara berirama.

Sejarah Wau Malaysia

Kedatangan permainan wau di Malaysia tidak dapat dipastikan kesahihan tarikh serta asal-usulnya. Walau bagaimanapun menurut sejarahwan Clive Hart, layang-layang di Malaysia berasal dari negara China. Ini kerana rekabentuk serta karektor mempunyai persamaan dengan layang-layang tradisional dari negara China.Layang-layang pada masa dahulu menggunakan daun kayu yang lebar. Kemungkinan evolusi layang-layang di Malaysia juga turut menyerap unsur-unsur kebudayaan dari negara China.

Bahagian Perincian Wau


Terdapat lima komponen asas bagi sebuah wau tradisional iaitu terdiri daripada kepala wau, busur atau dengung, sayap wau, torek atau bahagian pinggang dan ekor wau.

Wau tradisional mempunyai keunikannya yang tersendiri. Warisan tradisional ini haruslah dikekalkan kerana ia adalah identiti budaya bangsa Melayu dan juga sebuah negara. Kini permainan wau mulai popular di kalangan masyarakat bandar dan tidak lagi terhad di luar bandar sahaja. Bukan itu sahaja, permainan wau ini juga telah dimodenkan dan mula memasuki peringkat antarabangsa. Selain wau, layang-layang juga amat diminati sebagai salah satu aktiviti pada waktu terluang.


Jenis Wau


Berbagai jenis dan bentuk wau telah dicipta. Wau burung, wau pari, wau katak, wau bayan, wau merak, wau kucing, wau jala budi, wau lenggang kebayan, wau sewah, wau barat dan yang sangat digemari oleh orang Melayu ialah wau bulan. Rekacorak bermotifkan awan larat pada kebiasaannya adalah menghiasi kebanyakan wau yang dihasilkan dengan berwarna-warni. Kelantan dan Terengganu sehingga kini masih mengekalkan tradisi pembuatan wau yang menarik, selain dijadikan untuk permainan ianya juga sebagai hasil kraftangan dan hiasan dinding.


Cara Bermain


Pada kebiasaannya wau akan dimainkan oleh dua orang, iaitu seorang akan memegang wau dan seorang lagi dipanggil juru anjung yang memegang tali. Apabila angin bertiup maka tali akan ditarik melawan arus angin dengan cara menghulur dan menarik talinya sehinggalah wau tersebut tinggi di udara. Kilauan cahaya matahari akan menambah cantik lagi wau yang dihias berwarna-warni. Di masa kini walaupun wau masih mendapat tempat dikalangan masyarakat Melayu tetapi layang-layang juga tidak kurangnya telah mendapat perhatian oleh masyarakat tempatan dan juga antarabangsa. Pelbagai bentuk dan corak layang-layang telah dicipta, ada layang-layang yang berbentuk orang, kapal berangkai dan ada yang dimainkan dengan menggunakan dua utas tali. Kebanyakkan pertunjukan wau dan layang-layang masih mendapat tempat di Malaysia, terutama ketika hari-hari sambutan perayaan atau pertandingan wau antarabangsa.

3 unsur yang mempengaruhi kenaikan wau

a) Tekanan angin


Apabila tekanan angin di permukaan wau semakin kuat, maka kemampuan untuk naik tinggi semakin meningkat.


b) Daya tarikan graviti


Tarikan graviti ialah daya yang menarik wau ke bawah.

c) Daya seretan.

Wau akan mengundur ke belakang apabila permukaan wau mendapat tekanan yang tinggi. Hal ini akan mewujudkan daya seretan.

Permainan wau tradisional Melayu adalah dimainkan menggunakan satu tali sahaja. Penggunaan satu tali membolehkan wau ini mudah diterbangkan dan dikawal. Terdapat dua cara melancarkan atau menaikkan wau iaitu, pelancaran jarak dekat dan pelancaran jarak jauh. Tali yang digunakan adalah tali tangsi.

Teknik menaikkan wau jarak dekat.

Teknik ini sesuai bagi wau yang bersaiz kecil dan ringan.Hanya seorang sahaja diperlukan untuk melancarkan teknik ini.Pemain berdiri membelakangkan angin.Sebelah tangan pemain akan memegang badan wau dan dihadapkan ke arah angin. Sebelah lagi tangan memegang gelung tali.wau dilepaskan perlahan-lahan sehingga wau naik tinggi ke udara.

Mengawal penerbangan

Tiupan angin yang tidak meneru menyebabkan pemain perlu mengawal penerbangan wau. Mengawal penerbangan wau penting untuk mengelakkan wau jatuh ke tanah atau mengelakkan tali wau terputus.

Terdapat dua kemungkinan tiupan angin, iaitu angin beriup lemah dan angin bertiup kuat.Apabila angin bertiup lemah, pemain mesti menggulung tali wau supaya wau tersebut tidak jatuh ke tanah.

Teknik menurunkan wau.

Menurunkan wau memerlukan dua pemain, iaitu seorang penarik tali dan seorang lagi penggulung tali.

Penarik tali ialah orang yang menarik talu wau manakala penggulung tali ialah orang yang menggulung tali wau yang telah ditarik oleh penarik tali. Permainan wau laga merupakan perlawanan memutuskan tali wau pihak lawan.Ini memerlukan kepantasan, tumpuan dan kemahiran yang tinggi. Bahagian tali wau ini disalut dengan serpihan kaca halus.


Batu Seremban

Batu Seremban dikenali sebagai permainan Selambut atau Serembat. Kanak-kanak perempuan gemar memainkannya secara individu dan kebiasaannya dimainkan secara berkumpulan seramai dua hingga empat orang atau lebih. Tujuan permainan ini ialah untuk memungut mata timbangan terbanyak.

Guli kaca, biji getah, ketulan batu kerikil sederhana besar atau ketula
n-ketulan objek lain berbentuk bulat biasanya digunakan oleh kanak-kanak dalam permainan ini sebanyak lima biji. Objek-objek ini dikenali sebagai buah. Permainan ini sering dimainkan diwaktu lapang, di serambi rumah, di dalam rumah atau dimana sahaja yang mereka gemari dengan memerlukan permukaan yang rata dan bersih. Para pemain hendaklah duduk di atas lantai, dengan cara begini memudahkan permainan tersebut dimainkan.

Menentukan Giliran

Sebelum permainan dimulakan, seorang demi seorang pemain dikehendaki menimbang buah, bagi mendapatkan mata sebagai penentuan siapa yang akan bermain dahulu sebagai pemain pertama, kedua, ketiga dan seterusnya. Cara menimbang buah adalah dengan kesemua buah diletakkan di atas tapak tangan dan dilambung keudara, kemudiannya hendaklah disambut pula dengan belakang tapak tangan. Jumlah buah yang dapat disambut itu adalah dikira sebagai mata.



Cara Bermain

Dalam bermain Batu Seremban ini terdapat beberapa peringkat atau cara sambutan buah yang berlainan. Bermula dengan peringkat pertama yang mudah dengan menggunakan sebiji buah yang dinamakan sebagai buah satu hinggalah kepada peringkat lebih tinggi atau peringkat yang teratas dinamakan buah tujuh.

Buah Satu

Kesemua buah hendaklah diselerakkan dengan cara menabur di atas lantai, berkeadaan buah-buah itu tidak bersentuhan antara satu dengan yang lain. Sebiji buah diambil untuk dijadikan ibu, dan ibu hendaklah dilambungkan keudara, dalam masa yang sama sementara buah ibu masih berada diudara, sebiji lagi buah hendaklah dikutip. Dalam masa yang sama pemain hendaklah menyambut buah ibu, apabila telah disambut sebiji buah hendaklah digenggam di dalam tangan yang sebelah lagi. Perlakuan begini dibuat berterusan sehingga kesemua buah di atas lantai itu habis dilambung dan disambut.

Buah Dua

Cara buah dua dimainkan adalah serupa seperti buah satu, tetapi buah yang dikutip mestilah dengan dua biji serentak, ini bermakna hanya dua kali lambungan buah ibu dilakukan.

Buah Tiga

Buah tiga pula terdapat sedikit perbezaan. Langkah pertama adalah dengan mengutip sebiji buah dahulu, pada lambungan kali kedua pemain hendaklah mengutip tiga biji buah serentak.

Buah Empat

Pemain mengutip kesemua empat biji buah di atas lantai dan dalam masa yang sama hendaklah menyambut buah ibu yang telah dilambungkan.

Buah Lima

Diperingkat ini urutan dari memainkan buah empat, sementara di dalam tangan tergenggam lima biji buah, sebiji dari buah hendaklah dilambungkan dan empat biji buah baki hendaklah diletakkan di atas lantai pula serta menyambut buah ibu sahaja.

Buah Enam


Ditahap buah enam terdapat perbezaan, ianya juga dinamakan buah tukar dimana dua biji buah dijadikan buah ibu. Apabila sebiji daripadanya dilambungkan ke udara maka sebiji lagi buah ibu itu hendaklah ditukarkan dengan buah lain yang terdapat di atas lantai, sehingga selesai.

Buah Tujuh

Buah tujuh adalah urutan dari peringkat permainan buah enam. Dua biji buah yang masih berada di dalam tangan hendaklah dilambungkan serantak. Sementera itu sebiji buah hendaklah dikutip. Buah ibu hendaklah disambut dengan kedua belah tangan, sebiji disebelah kanan dan sebiji lagi disebelah kiri. Pada buah ibu yang terakhir dilambungkah hendaklah juga disambut.

Menimbang

Setelah selesai kesemua peringkat dilalui, pemain hendaklah menimbang buah untuk mendapatkan ma
ta. Menimbang buah diperingkat ini ada dua kaedah. Cara pertama sama seperti permulaan menentukan pemain, mata dikira hanya mengikut bilangan biji buah yang dapat ditimbang. Tetapi jika buah yang ditimbang itu disambut dengan cara mencangkuk, maka mata dikira sekali ganda dari jumlah biji buah yang dapat disambutnya.
Sekiranya pemain dapat bermain sehingga keperingkat menimbang dengan memperolehi mata, maka pemain tersebut boleh meneruskan permainan semula, buah satu dan seterusnya sehingga mati.

Mati Permainan

Sekiranya ibu tidak dapat disambut atau semasa mengutip buah di atas lantai tangan mengenai biji buah yang lain atau tidak dapat mengutip buah sehingga ibu jatuh atau semasa menimbang buah dan pemain tidak dapat walau sebiji buah ianya dikira mati (permainan ditamatkan) dan permainan akan diserahkan kepada pemain seterusnya.